BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, April 29, 2011

Teratai ku sayang - Part 4



Memang banyak kenangan antara dia, Johan dan teratai.  Semua bermula dengan teratai di kaki Gunung Ledang semasa ekspedisi berbasikal anjuran pihak universiti tempat mereka menuntut dahulu.  Ekspedisi itu memberi banyak kenangan manis di dalam hatinya.  Hubungannya mereka tidak terputus walaupun selepas Joseph menamatkan pengajian.

Pagi itu, Joseph menelefon memberitahu dia telah berjaya mendapat kerja di salah sebuah syarikat di ibu kota.  Dia akan mula bekerja dua minggu lagi.  Madiha pula, pada masa itu sudah kembali  ke universiti dan memulakan semestar yang baru.  Oleh sebab itu, Joseph mengajaknya untuk makan tengahari bersama-sama bagi meraikan kejayaannya.  Sudah lama mereka tidak berjumpa.  Kali terakhir adalah semasa di ekspedisi dulu.  Madiha mengambil masa yang agak lama untuk memilih pakaian yang sesuai.  Walaupun ini hanya temujanji biasa, tapi dia mahu kelihatan menarik.

Dia berkira-kira untuk menggayakan gaun peach berbunga paras lutut yang baru dibelinya di butik East India.  Tapi memikirkan reaksi yang bakal diterima dari Joseph yang  tidak pernah melihatnya memakai pakaian seumpama itu, dia membatalkan sahaja niatnya.  Sebaliknya, dia memilih untuk memakai T-shirt Guess merah putih dan dipadankan dengan jeans putih.  Itulah penampilan dia yang biasa dilihat oleh Joseph.  Cuma, hari itu dia membiarkan sahaja rambut lurusnya yang mencecah bahu tidak berikat.

Lewat petang itu barulah dia pulang ke rumah.  Selepas makan, dia menemankan Joseph membeli beberapa helai pakaian baru untuk kegunaan ke pejabat.  Dia membelikan Joseph sehelai tali leher berwarna biru sebagai hadiah kepada kawannya yang baru mendapat kerja.  Semasa memilih tali leher di kedai Tie Rack, KLCC, Joseph telah memilih sehelai tudung berwarna merah jambu dengan corak geometri halus.  Joseph membeli tudung itu dan memberikan kepada Madiha.  Dia terkejut diatas pemberian itu, dan bertanya kepada Joseph makna disebalik hadiahnya kerana dia sendiri tidak memakai tudung.

"I tengok design tudung ni lawa dan warnanya pun lembut.  I rasa kalau you pakai masa raya nanti, mesti nampak lagi anggun.  Itupun kalau padan dengan baju raya you nantilah".
"Kalau nak padan, kenelah you belikan bajunya sekali", dia membalas dengan seloroh.
"Iyalah tuan puteri.  Nanti dah gaji, I belikan you baju ya", balas Joseph dengan gelak tawa.  Mereka kemudian berhenti untuk menghilangkan penat dan dahaga di Deli France sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Madiha, waktu itu sedang menyambung pengajian di tahun kedua.  Dia yang gemar membacasejak dari kecil lagi mengambil keputusan untuk memilih kerjaya sebagai perpustakawan, dengan alasan agar dia sentiasa rapat dengan buku-buku dan bahan bacaan.  Baginya, sehari tidak membaca adalah satu kerugian kerana banyak yang boleh ditimba daripada bahan-bahan bacaan tersebut.  Telah banyak buku-buku literasi dan ilmiah yang dibacanya.  Dia tidak memilih buku-buku karangan penulis terkenal sahaja, sebaliknya menyokong dan memuji bakat-bakat baru dalam bidang penulisan.  Kini, sudah hampir sebulan dia di kampus, bermakna selama itu jugalah dia tidak berjumpa dengan Joseph.  Namun begitu, hampir setiap  hari mereka bertukar-tukar berita melalui email.

Kalau dulu dia sering berbasikal dengan Joseph tetapi sekarang hanya Maya dan Sara saja yang menjadi temannya beriadah di waktu petang.  Walaupun pada awalnya dia merasa janggal dan kehilangan teman baiknya, namun dia cepat membiasakan diri dengan keadaan baru.

Suatu petang semasa dalam perjalanan pulang dari kuliah, dia bertembung dengan Sara.  Kawannya itu memberitahu ada pelawat istimewa yang sedang menunggunya di kafetaria.  Dalam hatinya tertanya-tanya siapakah agaknya pelawat yang dimaksudkan oleh Sara.  Tak mungkin Ummi dan Abi yang datang, kerana dia baru saja menelefon umminya semalam untuk bertanya khabar.  Tak ada pula Ummi bercerita tentang hendak melawatnya di kampus.  Walau bagaimanapun, dia mempercepatkan langkahnya supaya tanda tanya itu segera terjawab.  Terkejut dan gembira apabila dia lihat Joseph yang menantinya di cafe.  Joseph melambai-lambaikan tangannya apabila melihat Madiha menuju kearahnya.

"Joe, what a pleasant surprise!  What are you doing here?  You sihat?", begitu banyak soalan yang diajukan tanpa memberi peluang kepada kawannya itu untuk menjawab.
"I come to see you.  I have a good news and can't wait to tell you myself.  I'm so exited about it!!".  Rupa-rupanya Joseph memdapat tawaran pergi ke Jerman selama tiga tahun atas urusan kerja.  Ini merupakan satu peluang yang sangat berharga dan Joseph telah menerima tawaran tersebut.  Dia akan berangkat ke sana dalam masa seminggu lagi.  Ini merupakan perubahan disaat-saat akhir apabila rakan sejawatnya yang sepatutnya pergi telah menarik diri atas alasan peribadi.  Bermakna ini merupakan pertemuan terakhir antara dia dan Joseph kerana minggu depan peperiksaan pertengahan semestar akan bermula.  Dia tidak dapat untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk menghantar Joseph.

Semenjak pertemuan terakhir itu, hari-harinya berlalu seperti biasa walaupun kadang-kala dia teringatkan Joseph.  Hanya email penghubung antara mereka berdua yang berada jauh beribu batu.  Kini, dia telah berada di tahun akhir pengajian, bermakna hampir 2 tahun mereka tidak berjumpa.  Dan selama dua tahun itu juga dia tidak rapat dengan mana-mana pelajar lelaki kerana hatinya belu  terbuka untuk menerima kehadiran sesiapa.  Kenangan bersama Joseph masih utuh walaupun dia tidak tahu kenapa dia begitu merindui saat-saat mereka bersama.  Hanya Maya dan Sara yang menjadi temannya ke sana-sini.  Itupun kadang-kala dia ditinggalkan sendirian kerana kawan-kawannya sudah mempunya buah hati masing-masing.  Sara, temannnya itu telahpun bertunang dengan teman lelakinya yang sama-sama menuntut di universiti yang sama dan akan diijabkabulkan sebaik sahaja tamat pengajian.  Pada usia begini, masing-masing telah mempunyai pilihan hati sendiri.  Sedangkan dia masih berteka-teki dengan perasaannya sendiri.  Walaupun dia sering teringatkan Joseph tetapi dia takut kalau itu hanyalah mainan perasaannya sahaja.  Selain latar belakang mereka yang berbeza, Joseph juga ada beberapa kali dalam emailnya bercerita tentang minah-minah mat saleh yang ditemuinya di Jerman.

Madiha merasa beruntung kerana sebaik sahaja tamat pengajian, dia mendapat tawaran bekerja di perpustakaan negeri di Shah Alam.  Kerana tempat kerjanya jauh dari rumah Ummi di Ampang, dia menyewa sebuah rumah di Shah Alam bersama-sama Maya yang kebetulan bekerja di Kelana Jaya.  Maya, gadis dari Melaka itu merupakan rakan biliknya selama tiga tahun di universiti dulu.  Sehingga kini, mereka masih tinggal bersama-sama.  Banyak kenangan manis dan pahit yang dikongsinya bersama-sama Maya.


***************************************


Deringan telefon bimbitnya menghentikan lamunannya.  Dilihat pada skrin, nama Maya yang tertera.  Seperti dapat merasa yang dia sedang memikirkan sahabatnya itu, Maya menelefon untuk bertanya khabar.

"Assalamualaikum Diha".
"Waalaikum salam.  Engkau sihat?".
"Sihat.  Engkau di rumah tepi bukit ke?".
"Macam biasalah Maya.  Hujung minggu begini macam dah jadi kemestian, aku mesti nak balik ke rumah ini.  Errrr.. kenapa kau cari aku ya?".
"Aku dah agak engkau mesti ada kat sana.  Aku ni sebenarnya cuma nak pastikan yang engkau tu okay sebab ada orang yang tak senang duduk bila engkau tak jawab panggilannya", jelas Maya.
"Sapa?"
"Sapa lagi kalau bukan peminat setia engkau, si Sulaiman tu", jawab Maya sambil tergelak kecil.  Dia hanyan memdiamkan diri bila nama Sulaiman disebut sahabatnya.
"Sebenarnya, dari semalam dia cari engkau.  Katanya, korang sepatutnya makan malam bersama tapi engkau tak datang.  Kau pergi mana?  Risau betul dia.  Lepas kau tak datang, dia pergi ke rumah kau, tapi gelap je katanya.  Dia telefon rumah dan handphone kau, dua-dua tak berjawab.  Ni yang dia minta aku tolong tanyakan khabar kau.  Diha, kau dengar tak apa aku cakap ni?", tanya Maya, risau bila kawannya itu berdiam sahaja.
"Dengar.  Maya, kau cakap kat Sulaiman, aku minta maaf sebab buat dia menunggu.  Siang tu bila kami bertembung, aku dah tolak pelawaannya.  Tapi dia yang beriya-iya dan memaksa aku untuk makan sama-sama.  Tapi aku sepatutnya telefon dan batalkan".
"Diha, aku ni bukan nak busy body hal engkau berdua, tapi aku tengok Sulaiman tu benar-benar ikhlas dengan kau.   Kau terimalah lamarannya.  Lagipun, dah dua tahun kau hidup sendirian.  This is the time for you to start a new chapter in your life.  Give yourself a chance, Madiha", pujuk Maya.
"I'm not ready yet", jawabnya ringkas.
"Sampai bila", ada nada tinggi disuara kawannya.  Mungkin Maya tidak berpuas hati dengan alasan yang dia dengar.
"Bila sampai masanya, InsyaAllah", masing-masing senyap membisu seketika. 
"Takpelah Diha, nanti aku bagitau Sulaiman yang kau tu sihat.  Cuma ayam & itik kau je yang sakit.  Sebab tu kau terpaksa balik ke rumah tepi bukit semalam", Maya cuba untuk mengurangkan ketegangan.
"Ada-ada sajalah kau ni, Maya".
"Okaylah Diha, si Adam ni dah nangis nak menyusu.  Nanti senang-senang aku telefon kau lagi.  Jaga diri kau baik-baik dan jangan bersedih sangat.  Dan lagi satu, jangan biarkan Sulaiman tu tunggu lama sangat.  Kesian dia.  Bye".  Maya mengakhiri perbualan mereka.  Dia termenung memikirkan kata-kata Maya dipenghujung perbualan mereka.


Sulaiman.  Satu nama baru yang muncul dalam hidupnya.  Mereka berkenalan setahun yang lalu masa Sulaiman sering berkunjung ke perpustakaan tempat dia berkerja untuk mencari bahan-bahan rujukan bagi kursus sarjananya.  Dia banyak membantu Sulaiman untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan terutama bahan-bahan yang didalam ruangan khas.  Dari situ, perkenalan mereka berlarutan sehinggalah pemuda itu jatuh hati kepadanya dan ingin melamarnya.  Namun, ingatannya pada Johan masih kuat lagi dan sukar untuk dia menerima lamaran tersebut.  Ingatannya kembali kepada Johan, kekasihnya yang telah pergi selama-lamanya.


Amimarzsays :  still in silence mode!


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...