BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, April 12, 2011

Teratai ku sayang - Part 1

Oh teratai bunga indah, Engkaulah pujaan hatiku, Telah lama aku rindukan, Wahai teratai bunga indah.
Sungguh cantik parasmu, Sinar matamu bagaikan suria pagi, Setiap insan selalu terpikat, Memandang teratai bunga indah
Ku tak menyangka, Wahai teratai ku sayang.  Badai taufan datang, Menghembus dirimu, Engkau pun terkulai, Dan menunduklah layu, Tak berseri lagi
Oh tolong, lindungilah dia, Agar ku dapat bersamanya lagi, Ku inginkan teratai ku sayang, Berseri seperti semula.......


Dia duduk sendirian di tepi kolam, leka mengamati keindahan kumpulan teratai yang melintuk-riuk terapung di atas air.  Sorotan lagu Teratai nyanyian Ramli Sarip menerja dikepalanya.  Manik-manik jernih hampir sahaja jatuh setiap kali dia mendalami lirik lagu itu.  Ditangannya masih menggenggam bungkusan biru laut beriben merah yang dibalut rapi, tetapi tiada gerak dihati untuk mengetahui isinya.  Dibiarkan sahaja bungkusan itu begitu.  Dinginnya perasaan dia terhadap bungkusan itu sama seperti sikap sepinya terhadap pemberi bungkusan itu.  Dia malas hendak berfikir tentang itu semua.  Disaat ini, fikirannya hanya mahu terus-menerus tenggelam meniti kisah-kisah semalam.  Dan dia senang duduk di tepi kolam yang penuh teratai sambil mengenang sejarahnya.


Kolam ini telah menjadi tempat kunjungannya hampir setiap minggu semenjak dua tahun kebelakangan ini.  Di dalam serambi yang dibuat khas di tepi kolam ini, dia duduk bersendirian mencari ketengangan yang seringkali tiada dalam jiwanya.  Ada kalanya, dia tidak bersendirian.  Penghuni kolam itu sering menjadi temannya sewaktu berduka sendirian.  Gelagat sekeluarga itik yang teratur berenang-renang membuatkan dia merasa terleka.  Alunan kior sang katak yang sahut-menyahut sesama mereka menjadi muzik lataran yang berlarutan sepanjang masa.  Tiga ekor mengkarung yang sering berkejaran di bibir air turut menghiburkan hatinya.  Ibu mengkarung itu merupakan penghuni asal paya yang dulunya terbiar.  Dia yang menyuruh Johan membiarkan sahaja sarang mengkarung di tempatnya, untuk menambah watak bagi drama alam di kolam ciptaan mereka.  Nyata kehidupan terceria dengan kehadiran keluarga mengkarung itu.  Kadang kala sengaja dia membaling kayu ke arah mengkarung-mengkarung itu, gelihati melihat mereka terkejut dan bertempiaran lari.  Alangkah seronoknya menjadi mengkarung, sepanjang masa bermain dan berhibur, tiada duka dan masalah fikirnya.  Kerana kerap benar memerhatikan si mengkarung bermain, timbul rasa akrab kepada binatang tersebut.


Dengan tenang dia melihat kolam yang menyimpan banyak kenangan dia bersama satu-satunya lelaki yang dicintai, Johan.  Rumah di tepi bukit ini Johan beli selepas mereka berkahwin dulu.  Johan memang mencintai dan menghargai suasana kampung yang penuh kehijauan dan kedamaian, jauh lebih tenang daripada kesibukan kota seperti di Kuala Lumpur.  Secara tidak langsung, rumah ini menjadi rumah rehat bagi mereka berdua.  Landskap dan susunan rumah itu adalah hasil kreativiti Johan sendiri.  Katanya rumah di tepi bukit ini adalah umpama taman inderaloka yang dibuat khas untuk isteri kesayangannya.  Dia amat bahagia mendengar ucapan cinta itu.


*****************************


Dia mula mengenali Johan semasa sama-sama menuntut di salah sebuah universiti tempatan dahulu.  Johan merupakan pelajar tahun akhir jurusan pentadbiran perniagaan sementara dia pula pelajar tahun satu jurusan sains perpustakaan.  Kebetulan mereka menyertai persatuan berbasikal dan sama-sama aktif di dalam persatuan itu kerana masing-masing mempunyai minat yang sama.  Walaupun baru berkenalan, Johan pandai mengambil hati dan mereka cepat menjadi akrab.  Johan ataupun dulu namanya Joseph Yong merupakan pemuda kacukan Cina-Serani.  Kerana sikapnya yang mudah mesra dengan semua orang dan wajah yang kacak, Joseph mempunyai ramai peminat.  Namun persahabatannya dengan Joseph hanyalah sekadar kawan biasa, kerana perbezaan agama dan keturunan.  Walaupun dia merasa senang dan gembira setiap kali bersama Joseph, tetapi tidak mungkin untuk dia mengharap sesuatu yang lebih dari persahabatan itu.


"Diha, you pergi tak ekspedisi ke Johor?", tanya Joseph setelah mengunyah suapan terakhir mee gorengnya.  Seperti biasa, selepas habis kuliah, mereka akan berjumpa di kafeteria untuk mengisi perut masing-masing.


"Belum pasti lagi lah Joe.  Need to ask permission from my parents first.  Why?".  Dia tertanya-tanya kenapa Joseph begitu berminat untuk mengetahui penglibatannya di dalam ekspedisi berbasikal menjelajah Negeri Johor.  Ini adalah kali keempat Joseph bertanyakan soalan yang sama kepadanya. 


"Peserta wanita untuk ekspedisi ini cuma ada tiga orang saja.  Tak balance lah dengan jumlah peserta lelaki yang seramai sebelas orang  itu.  Kalau you pergi, kawan-kawan you, Maya dan Nana pasti akan ikut serta.  Lebih ramai peserta lagi meriah.  Please Diha, joint the expedition with us", Joseph memberi penjelasan dan berharap dapat memujuk Madiha.


"Nantilah Joe.  I fikirkan dulu ya.  Tapi I tak janji apa-apa tau".  Dia masih tidak dapat memberikan kata putus lagi.  Sebenarnya, dia bercadang hendak balik ke kampung datuknya pada cuti semester ni.  Dah lama dia tak jumpa dengan orang tua itu. 


 Amimarzsays  :  sambung esok ya... kita tidor dulu!!!





0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...